Tuesday 19 December 2017

Kesimpulan : Projek Haiwan Jalanan


Kesimpulan Projek Haiwan Jalanan ialah projek ini berjalan dengan sangat lancar walaupun terdapat beberapa masalah yang kami hadapi. Kami dapat mencapai matlamat dan objektif projek kami iaitu untuk membantu kucing-kucing terbiar, member kesedaran kepada masyarakat tentang haiwan-haiwan jalanan dan juga mencapai hasil pembelajaran “Kemahiran dan Tanggungjawab Sosial”.


Seterusnya, menerusi Projek Haiwan Jalanan, kami dapat mempelahari dan memperolehi pelbagai kemahiran seperti kemahiran mencari maklumat, kemahiran merancang, kemahiran berkomunikasi, kemahiran akauntabiliti, kemahiran menyelesaikan masalah dan juga kemahiran sosial.



Akhir sekali, menerusi Projek Haiwan Jalanan, kami dapat melihat reaksi tulus masyarakat berkaitan haiwan jalanan dan juga aktiviti yang dijalankan. Antara reaksi yang diterima adalah dalam bentuk sokongan fizikal, sokongan perkataan, tidak menunjukkan minat dan juga tidak menyokong projek yang dijalankan.

Kemahiran Yang Diperolehi

Sepanjang sesi perancangan dan pelaksanaan Projek Haiwan Jalanan, kesemua ahli kumpulan kami memperoleh dan mempelajari pelbagai kemahiran seperti:

1.      Kemahiran Mencari Maklumat
Di dalam sesi perbincangan kumpulan, kesemua ahli kumpulan bekerjasama mencari maklumat tentang lokasi yang mempunyai populasi kucing terbiar yang tinggi. Seterusnya, kami juga mencari maklumat tentang cara-cara mendekati kucing jalanan kerana sesetengah kucing tidak suka didekati.

2.      Kemahiran Merancang
Sebelum pelaksanaan Projek Haiwan Jalanan, kami mengadakan 3 sesi perbincangan kumpulan. Perbincangan yang dilakukan adalah bertujuan untuk merancang aturcara dan aktiviti yang akan dijalankan semasa hari pelaksanaan projek. Hasil daripada perbincangan dan perancangan yang dilakukan, Projek Haiwan Jalanan berjalan dengan sangat lancar.

3.      Kemahiran Berkomunikasi
Disebabkan jadual harian yang padat, kami terpaksa melakukan beberapa sesi perbincangan melalui aplikasi WhatsApp. Walaupun perbincangan melalui aplikasi WhatsApp kurang efektif, namun setiap ahli kumpulan memberikan kerjasama yang sangat baik dan sebagai hasil, kebanyakan matlamat perbincangan dapat dicapai. Seterusnya, semasa pelaksaan Projek Haiwan Jalanan, kami bergerak dari lokasi ke lokasi dengan menggunakan dua buah kereta kerana ahli yang ramai. Oleh itu, kami memastikan wakil daripada setiap kereta berhubung di antara satu sama lain untuk memastikan kedua-dua kereta menuju ke lokasi yang sama dan tidak ketinggalan.

4.      Kemahiran Akauntabiliti
Sebelum sesi pencarian sponsor dilakukan, kami membuat penganggaran bajet terlebih dahulu. Anggaran bajet yang dipersetujui ialah sebanyak RM158.90. Daripada bajet tersebut, RM61.90 akan digunakan untuk membeli makanan kucing yang kering, RM67.00 akan digunakan untuk membeli makanan kucing yang basah dan RM30.00 sebagai peruntukkan minyak bagi 2 buah kereta. Jumlah sponsor yang kami perolehi adalah sebanyak RM230.00 dan melebihi anggaran bajet yang ditetapkan. Oleh itu, lebihan wang digunakan untuk membeli makanan kucing tambahan. Sebagai hasil penganggaran bajet yang dilakukan, kami dapat menetapkan target pencarian sponsor agar tidak kurang daripada nilai yang kami perlukan.

5.      Kemahiran Menyelesaikan Masalah
Semasa menjalankan Projek Haiwan Jalanan, cuaca pada hari itu adalah mendung dan hujan. Disebabkan hal ini, kami mempunyai masalah untuk menghabiskan stok makanan kucing yang dibeli kerana kurang menjumpai kucing-kucing di setiap lokasi. Kebanyakannya menyorok dan mencari tempat untuk berteduh. Oleh itu, kami terpaksa melakukan perbincangan saat akhir kerana terdesak untuk memikirkan lokasi-lokasi baru dan menambah jumlah lokasi yang akan dilawati. Walaupun menghadapi masalah di saat akhir, perbincangan yang kami lakukan membuahkan hasil dan masalah tersebut dapat diselesaikan.

6.      Kemahiran Sosial
Sebelum hari pelaksanaan Projek Haiwan Jalanan, kami telah mencari maklumat tentang cara-cara mendekati kucing-kucing terbiar dan pada hari pelaksanaan Projek Haiwan Jalanan, kami mempraktikkan maklumat yang kami perolehi. Selain itu, kami juga bersama-sama menyebarkan flyers tentang haiwan jalanan kepada orang awam semasa berada di lokasi keenam, Kubang Kerian. Kemahiran sosial yang kami perolehi adalah dalam bentuk interaksi dengan haiwan dan juga interaksi sesama manusia.

Isu-Isu Utama : Projek Haiwan Jalanan

Sepanjang Projek Haiwan Jalanan dijalanankan, kami dapat mengenal pasti beberapa isu yang sangat penting. Antara isu yang dikenal pasti ialah:

1.      Populasi kucing yang tidak terkawal.

Kami telah melawat lapan lokasi bagi menjayakan Projek Haiwan Jalanan dan kami dapati bahawa populasi kucing pada masa ini terlalu tinggi, menyebabkan lebih banyak kucing yang dipinggirkan serta hidup dalam keadaan tidak terurus. Kebanyakan kucing yang kami temui mempunyai masalah kesihatan seperti kurap, kutu dan luka-luka di badan. Bagi menangani isu ini, kami mencadangkan supaya kerajaan membina beberapa pusat perlindungan haiwan di setiap negeri dan menyelamatkan haiwan-haiwan yang terbiar kerana haiwan juga merupakan makhluk yang mempunyai perasaan dan layak untuk mendapat kehidupan yang baik dan terurus.

2.      Masyarakat mempunyai kurang kesedaran tentang kucing-kucing jalanan.

Semasa kami menjalankan Projek Haiwan Jalanan, terdapat 2 individu yang membantu kami untuk memberikan makanan kepada kucing-kucing terbiar. Namun, kebanyakannya hanya memerhati tanpa menunjukkan rasa minat atau menghulurkan sebarang bantuan. Terdapat juga beberapa individu yang memandang sinis terhadap Projek Haiwan Jalanan dan menganggap projek ini hanyalah satu pembaziran. Salah seorang daripada mereka meminta kami berhenti menjalankan projek ini dan memberi makanan kepada kucing di rumah sahaja. Pada pendapat kami, projek ini adalah satu usaha yang mulia bagi membantu kucing-kucing terbiar. Oleh itu, organisasi yang mempunyai kuasa perlu menjalankan “Kempen Sayangi Haiwan Jalanan”. Kempen ini dijalankan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya nilai setiap haiwan, tanpa mengira rupa dan nasib mereka.


3.    Persekitaran yang kotor menyebabkan bakteria mudah merebak dan membawa penyakit.

Semasa menjalankan Projek Haiwan Jalanan, kami mendapati bahawa kesemua kawasan yang kami lawati adalah dalam keadaan yang tidak bersih. Terdapat sampah di merata tempat dan kebanyakan longkang tersumbat dipenuhi plastik-plastik dan juga sisa buangan. Masalah ini menyebabkan bakteria mudah merebak dan membawa penyakit kepada haiwan-haiwan terbiar. Di sesetengah negara seperti Turki, haiwan-haiwan terbiar di sana kebanyakannya dalam keadaan yang baik, berlainan dengan haiwan-haiwan terbiar di Malaysia. Hal ini adalah kerana persekitaran yang berbeza. Persekitaran yang bersih dapat mengelakkan masalah ini daripada berlaku atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu mengenakan denda kepada pihak yang melakukan kekotoran dan pencemaran di kawasan awam. Oleh itu, sesi tinjauan oleh pihak berkuasa perlu dijalankan dengan lebih kerap terutama sekali di kawasan-kawasan seperti pasar dan juga kedai makan. Selain itu, setiap individu juga perlu menanamkan sifat cinta alam di dalam diri masing-masing dan bertanggungjawab untuk tidak membuat kekotoran dan pencemaran di mana-mana sahaja.

Latar Belakang : Projek Haiwan Jalanan

Projek Haiwan Jalanan adalah sebuah projek dimana ahli kumpulan akan berusaha mencari sponsor bagi membeli makanan kucing untuk diberi kepada kucing-kucing jalanan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kelantan. Antara target pencarian sponsor adalah keluarga, kenalan terdekat dan juga orang awam.

Objektif projek ini adalah untuk mencapai hasil pembelajaran “Kemahiran dan Tanggungjawab Sosial”. Seterusnya, membantu kucing-kucing terbiar serta memberi kesedaran kepada orang awam tentang kebajikan haiwan. Selain itu, projek  ini berhasrat mendedahkan pelajar kepada pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan di luar bilik darjah.  Selain memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara ia juga bertujuan melahirkan warganegara yang patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Selepas projek ini dijalankan, pelajar dapat memupuk nilai-nilai murni di dalam diri masing-masing seperti:

·  Menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada  komuniti serta mendekatkan diri dengan masyarakat.
·    Menampilkan dan menghayati ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan nilai yang positif.
·     Merancang, melaksana, memimpin program, bekerjasama dan mengambil  peranan secara peranan secara aktif dalam kumpulan.
·    Memupuk semangat kecintaan terhadap haiwan dan semangat budaya tolong-menolong, bantu-membantu sesama masyarakat serta berganding bahu dengan badan bukan kerajaan dalam menjaga kebajikan haiwan.

Antara maklumat projek ialah:

·          Nama Projek                 :                Projek Haiwan Jalanan
·          Tarikh Projek                :                24 November 2017 (Jumaat)
·          Tempat Projek               :                Sekitar Bandar Kota Bharu, Kelantan
·          Jumlah Peserta              :                8 orang pelajar (1 kumpulan)

Pengenalan : Projek Haiwan Jalanan



Projek berkaitan kemahiran dan tanggungjawab sosialmerupakan sebahagian daripada pembelajaran subjek Kenegaraan dan Pembangunan Negara (USK 1032) yang perlu diambil oleh pelajar semester 3 Universiti Malaysia Kelantan. Melalui mata pelajaran ini pelajar dikehendaki merancang, melaksanakan dan membuat laporan berkenaan projek yang dilaksanakan.

Program ini berhasrat untuk melaksanakan  khidmat bakti dengan satu cadangan memberikan makanan kepada setiap kucing yang berada di  sekitar bandar Kota Bharu. Idea ini diterima bagi memberi kesedaran kepada orang awam tentang betapa pentingnya kebajikan terhadap haiwan sekeliling.

Mahasiswa/i adalah pembina generasi cemerlang, pembentuk jati diri dan menjadi suri teladan kepada masyarakat. Justeru, siswa/siswi harus mampu menyesuaikan diri dalam semua keadaan dan situasi serta mampu  menangani cabaran era globalisasi dan sosiolisasi.

Adalah diharapkan melalui program ini, kami mendapat kemahiran merancang, mengurus dan melaksanakan program khidmat masyarakat.Juga diharapkan program ini akan dapat meninggalkan impak yang positif terhadap komuniti setempat ataupun secara globalnya kepada negara.

Wednesday 6 December 2017

Video : projek haiwan jalanan



Video tentang Projek Haiwan Jalanan telahpun disiapkan. Sila klik link di bawah :-

Wednesday 29 November 2017

Post Mortem


Selepas selamat sampai di Kemumin pada 24/11/2017, jam 4.14 petang, kami mengadakan post mortem bagi membincangkan segala isu sepanjang Projek Haiwan Jalanan dijalankan. Berikut merupakan hasil post mortem yang dilakukan:

Masalah yang dihadapi sebelum Projek Haiwan Jalanan (sebelum 24/11/2017) :
1. Sesi dan masa perbincangan yang singkat.
2. Pembelian makanan kucing dijalankan dengan agak tergesa-gesa kerana promosi.
3. Projek Haiwan Jalanan terpaksa ditunda seminggu akibat stok makanan kucing yang tiba lewat.

Masalah yang dihadapi semasa menjalankan Projek Haiwan Jalanan (pada 24/11/2017) :
1. Program sepatutnya tamat pada pukul 12.00 pm namun disebabkan masih ada lebihan makanan kucing pada waktu itu, maka program terpaksa dipanjangkan sehingga 4.00 pm.
2. Akibat cuaca (hujan) pada hari tersebut, kami terpaksa memendekkan sesi di kawasan terbuka seperti di pasar sementara, Pengkalan Chepa.

Reaksi masyarakat terhadap Projek Haiwan Jalanan :
1. Kebanyakan individu menyokong projek yang dijalankan.
2. Sesetengah individu turut membantu kami menjalankan Projek Haiwan Jalanan.
3. Segelintir individu memandang remeh terhadap Projek Haiwan Jalanan kerana mengganggap projek ini sebagai satu pembaziran.

Penambahbaikan yang akan dilakukan oleh kumpulan kami :
1. Menggunakan sesi dan masa perbincangan dengan sebaiknya untuk membincangkan isu-isu penting.
2. Membuat selidik tentang promosi lebih awal agar proses pembelian dapat dilakukan dengan lebih teratur.
3. Memastikan tarikh penghantaran makanan sebelum menentukan tarikh projek.
4. Membuat perancangan masa dengan lebih teliti.

Berikut merupakan segala hasil perbincangan post mortem yang dilakukan.

Projek Haiwan Jalanan



Pada 24/11/2017 (Jumaat), kumpulan kami menjalankan Projek Haiwan Jalanan. Mengikut perancangan awal, kami berkumpul pada pukul 8 pagi. Kami menyediakan flyers dan juga poster kecil untuk Projek Haiwan Jalanan.




Target pertama kami ialah kucing-kucing terbiar di sekitar kolej kediaman kemumin. Kami juga turut membahagikan makanan kucing kepada 4 plastik agar mudah dibawa.






8.40 am - Destinasi seterusnya ialah Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. Kami berada di sana selama 90 minit.




10.10 am - Kami menuju ke lokasi seterusnya iaitu di pasar sementara, Pengkalan Chepa. Kami berada di sana selama 30 minit.





10.40 am - Kami menuju ke lokasi ketiga iaitu Stadium Sultan Muhammad IV. Kami berada di stadium tersebut selama 30 minit.




11.10 am - Kami menuju ke lokasi keempat, Pasar Siti Khadijah. Kami berada di lokasi keempat selama lebih kurang 50 minit.





11.56 am - Kami menuju ke lokasi seterusnya iaitu di Pasar Wakaf Bharu. Kami berada di lokasi tersebut selama 90 minit.




1.30 pm - Ahli kumpulan lelaki pergi menunaikan Solat Jumaat pada pukul 1.00pm. Selebihnya menuju ke kawasan Pasaraya Mydin, Kubang Kerian untuk meneruskan Projek Haiwan Jalanan. Kami berada di Kubang Kerian selama 90 minit. Kami berkumpul semula pada pukul 3.00 di KFC Kubang Kerian. Di sini, kami turut menyebarkan flyers kepada orang awam.





3.30 pm - Kami menuju ke lokasi ketujuh iaitu di kawasan sekilar Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa. Kami berada di lokasi ketuju selama 15minit.


3.45 pm - Kami menuju ke lokasi terakhir iaitu di Medan Selera Padang Tembak. Di sini, kami juga menghabiskan masa selama 15 minit.


4.14 pm - Kami selamat sampai di Kolej Kediaman Seri Kemumin. 


Berikut merupakan keseluruhan perjalanan kami bagi Projek Haiwan Jalanan. Keseluruhan perjalanan kami memakan masa selama 2 jam 38 minit (jumlah masa perjalanan ke semua lokasi).





Thursday 23 November 2017

Perbincangan kumpulan 3.0

Pada 23/11/2017, kami mengadakan perbincangan akhir sebelum pelaksaan Projek Haiwan Jalanan. Perbincangan ini diadakan bagi memastikan Projek Haiwan Jalanan berjalan dengan teratur dan lancar.

Antara input perbincangan kali ini:

Tentatif (24/11/17)
8 am - 12 pm

Tempat: 
1. Kemumin
2. Pengkalan Chepa
3. Kb kedai mamak
4. Tempat buang sampah
5. Lorong2 kecil pinggir kedai

Kereta 1:
Syakir, Vivian,  Danisya, Amira
Kereta 2:
Qayyum, Rasydan, Jia Qi, Aliya

Barang: 
1. Scoop bawa sendiri setiap seorang untuk scoop makanan kucing.
2. Plastik.

Cameraman:
1. Vivian
2. Dan

Kami akan bergerak secara kumpulan. Makanan yang ada ialah 8kg makanan kering, 48 paket makanan basah. Makanan kering akan diberi kepada semua kucing dewasa. Makanan basah hanya untuk anak kucing dan kucing yang sangat-sangat kurus.

Minyak akan diperuntukkan sebanyak RM 15 kepada setiap kereta.





Pembelian dan penerimaan makanan kucing

Pada 11/11/2017, kami  membeli 8kg makanan kucing (kering) dan 48paket makanan kucing (basah) dari Lazada. Makanan kucing kering akan diberikan kepada kucing-kucing dewasa dan makanan kucing basah akan diberikan kepada anak-anak kucing serta kucing yang kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Kami menerima makanan kucing tersebut pada 21/11/2017 dan bungkusan makanan adalah dalam keadaan yang baik.