Tuesday 19 December 2017

Isu-Isu Utama : Projek Haiwan Jalanan

Sepanjang Projek Haiwan Jalanan dijalanankan, kami dapat mengenal pasti beberapa isu yang sangat penting. Antara isu yang dikenal pasti ialah:

1.      Populasi kucing yang tidak terkawal.

Kami telah melawat lapan lokasi bagi menjayakan Projek Haiwan Jalanan dan kami dapati bahawa populasi kucing pada masa ini terlalu tinggi, menyebabkan lebih banyak kucing yang dipinggirkan serta hidup dalam keadaan tidak terurus. Kebanyakan kucing yang kami temui mempunyai masalah kesihatan seperti kurap, kutu dan luka-luka di badan. Bagi menangani isu ini, kami mencadangkan supaya kerajaan membina beberapa pusat perlindungan haiwan di setiap negeri dan menyelamatkan haiwan-haiwan yang terbiar kerana haiwan juga merupakan makhluk yang mempunyai perasaan dan layak untuk mendapat kehidupan yang baik dan terurus.

2.      Masyarakat mempunyai kurang kesedaran tentang kucing-kucing jalanan.

Semasa kami menjalankan Projek Haiwan Jalanan, terdapat 2 individu yang membantu kami untuk memberikan makanan kepada kucing-kucing terbiar. Namun, kebanyakannya hanya memerhati tanpa menunjukkan rasa minat atau menghulurkan sebarang bantuan. Terdapat juga beberapa individu yang memandang sinis terhadap Projek Haiwan Jalanan dan menganggap projek ini hanyalah satu pembaziran. Salah seorang daripada mereka meminta kami berhenti menjalankan projek ini dan memberi makanan kepada kucing di rumah sahaja. Pada pendapat kami, projek ini adalah satu usaha yang mulia bagi membantu kucing-kucing terbiar. Oleh itu, organisasi yang mempunyai kuasa perlu menjalankan “Kempen Sayangi Haiwan Jalanan”. Kempen ini dijalankan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya nilai setiap haiwan, tanpa mengira rupa dan nasib mereka.


3.    Persekitaran yang kotor menyebabkan bakteria mudah merebak dan membawa penyakit.

Semasa menjalankan Projek Haiwan Jalanan, kami mendapati bahawa kesemua kawasan yang kami lawati adalah dalam keadaan yang tidak bersih. Terdapat sampah di merata tempat dan kebanyakan longkang tersumbat dipenuhi plastik-plastik dan juga sisa buangan. Masalah ini menyebabkan bakteria mudah merebak dan membawa penyakit kepada haiwan-haiwan terbiar. Di sesetengah negara seperti Turki, haiwan-haiwan terbiar di sana kebanyakannya dalam keadaan yang baik, berlainan dengan haiwan-haiwan terbiar di Malaysia. Hal ini adalah kerana persekitaran yang berbeza. Persekitaran yang bersih dapat mengelakkan masalah ini daripada berlaku atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu mengenakan denda kepada pihak yang melakukan kekotoran dan pencemaran di kawasan awam. Oleh itu, sesi tinjauan oleh pihak berkuasa perlu dijalankan dengan lebih kerap terutama sekali di kawasan-kawasan seperti pasar dan juga kedai makan. Selain itu, setiap individu juga perlu menanamkan sifat cinta alam di dalam diri masing-masing dan bertanggungjawab untuk tidak membuat kekotoran dan pencemaran di mana-mana sahaja.

No comments:

Post a Comment